
. Sabar - Sabar juga termasuk ciri satu bangsa yang agung. Sifat sabar Iebih utama bagi pemimpin. Oleh itu sifat sabar yang tertinggi dihadiahkan Tuhan kepada pemimpin, kepada kalangan rasul terutamanya yang rasul Ulul Azmi (mempunyai azam yang kuat). Sabar adalah syarat utama bagi seorang pemimpin. Dalam solat ada ubat dan pil untuk menjadikan seseorang itu penyabar. Sebelum kita mulakan solat pun sudah ada didikan untuk kita bersabar, sama ada kita sedar ataupun tidak, sebab hendak solat bukannya senang, Iebih-Iebih lagi bagi orang yang belum khusyuk. Hendak solat pun satu ujian. Bukan senang hendak bangun tidur di waktu pagi untuk solat Subuh. Sebab itu, sesetengah orang, dia duduk-duduk dulu, dia menung dulu, mengenangkan terpaksa ke bilik air. Kalau tidak sabar, kita tidak akan boleh buat. Kalau tidak sabar, boleh jadi kita akan tidur semula. Sebelum solat pun sudah perlu banyak sabar. Dalam solat Iebih-Iebih lagi. Bila kita baca ayat 3 surah al-Fatihah yang bermaksud: "Tuhan yang memerintah di hari akhirat" ia menjadi pemangkin untuk kita bersabar. Bersabar melaksanakan segala suruhan Tuhan. Bersabar meninggalkan segala larangan Tuhan kerana takutkan neraka dan inginkan syurga-Nya. Biarlah bersusah-susah sedikit. Biarlah sakit sedikit. Biarlah tidak dapat mengikut kehendak nafsu, asalkan di akhirat kita selamat. Dengan itu ia memudahkan kita untuk bersabar. Samalah dengan orang yang mengejar dunia. Hendak sekolah bukan seronok. Hendak belajar bukan senang. Hendak masuk universiti bukan mudah. Tetapi demi menjadi pandai, supaya dapat kerja dan jawatan yang tinggi, bersusah payah pun dibuat juga. Orang boleh bersabar menghadapi apa yang dia benci, apa yang dia tidak suka dan apa yang menjemukannya, asalkan matlamat dan cita-citanya tercapai.
No comments:
Post a Comment