
Kenapa HARUS Istikharah?
Hidup adalah pilihan. Biarpun segalanya di tangan takdir, tetapi sebagai manusia kita tidak harus duduk diam dan bertawakkal bulat-bulat pada ketentuan. Atas dasar itulah kita disarankan untuk melakukan solat Istikharah. Tujuannya, mahu memohon pilihan yang PALING terbaik dan sesuai dengan kehendak-Nya.
Hukum Solat Istikharah bagi mereka yang mengalami masalah dalam memilih, adalah sunat muakkad. Jadi, tidak rugi bertanyakan pendapat-Nya. Istikharahlah seikhlas hati. Semoga Allah merungkai persoalan yang menggelungi hatimu.
Waktu Solat Istikharah.
Solat sunat Istikharah dilakukan sebayak 2 rakaat tidak kira siang atau malam asalkan tidak dilakukan pada masa yang mana solat sunat tidak boleh dikerjakan.Walau bagaimanapun, sesetengah pendapat mengatakan adalah lebih baik dilakukan pada waktu malam.
Doa sesudah Istikharah seperti yang direkodkan Bukhari dan Abu Daud.
'Wahai Allah, aku memohon petunjuk-Mu berkaitan urusan mana yang baik bagiku menurut ilmu-Mu. Aku memohon kesanggupan kepada-Mu dengan kudrat-Mu. Aku memohon daripada keutamaan-Mu yang besar, kerana Engkau Tuhan yang berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa. Engkau Tuhan yang mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui. Engkau Tuhan yang sangat mengetahui atas segala perkara yang ghaib.
Wahai Allah, apabila Engkau mengetahui urusan ini baik bagiku, agamaku, kehidupanku dan pekerjaanku dalam masa yang terdekat ataupun masa hadapan, takdirkan ia bagiku dan permudahkan. Kemudian, berikan berkat kepadanya. Apabila Engkau mengetahui pekerjaan ini buruk bagiku, agamaku, kehidupanku, dan pekerjaanku dalam masa yang cepat atau lambat,palingkan ia daripadaku dan palingkan aku daripadanya. Takdirkan kebaikan bagiku di mana saja dia berada. Kemudian jadikan hatiku meredainya.'
Hasil Istikharah.
Petunjuk dan jawapan daripada Allah adalah halus dan sentiasa cantik. Sama ada diberikan jawapan melalui gerak hati yang mantap ataupun mimpi ataupun dengan memperlihatkan sebarang tanda. Sambutlah jawapan Allah dengan berlapang dada. Juga harus diingat. Tidak semua solat Istikharah akan terjawab dengan hanya melakukannya sekali. Disarankan dilakukan berturut-turut dengan disertai puasa sunat.
'Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagimu. Boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan engkau tidak mengetahui.'
(Al Baqarah: 216)
Mahu memilih jodoh yang terbaik. Mahu memilih bidang kerja yang terbaik. Mahu memilih apa saja jawapan yang terbaik. Mohonlah melalui Istikharah kepada Allah.